Sunday, October 31, 2010

Menutup Aurat Budaya Murni Wanita Muslim





HUKUM wajib menutup aurat tidak boleh dimansuhkan dengan hujah akal, walau sehebat mana sekalipun logiknya hujah itu. Ini kerana hukum itu ditetapkan dengan nas yang jelas, yang tidak lagi boleh diijtihadkan. Nas yang terang dalam epistemologi Islam, mengatasi akal rasional, kerana nas itu adalah daripada wahyu yang nyata maksudnya, tidak memerlukan akal rasional untuk menerangkannya. Apa lagi untuk membatalkan pengertiannya yang jelas itu. Demikian pendapat MOHD NAKHAIE AHMAD. Ikuti tulisan beliau.
WALAUPUN ada pihak yang bersikap sinis terhadap pakaian menutup aurat, budaya berpakaian menutup aurat itu sudah berkembang dan diterima masyarakat. Ramai wanita menerima budaya ini, termasuk wanita bekerja. Bahkan di Kuala Lumpur, wanita bukan Islam memilih baju kurung untuk dipakai pada hari tertentu seperti Jumaat. Pakaian ini, kelihatan lebih sopan dan manis jika dipilih fesyen dan cara berpakaian yang sederhana. Tetapi kelihatan agak janggal jika aurat ditutup secara melampau, tanpa menghiraukan kebersihan dan pakaian yang kemas dan rapi.
Wanita Islam di negara ini mula memakai pakaian menutup aurat secara sedar dan beramai-ramai selepas berkembangnya gerakan dakwah secara teratur di pusat pengajian tinggi pada awal 70-an. Pada masa itu pengaruh sekularisme dan sosialisme di kalangan intelektual berada di kemuncaknya. Gerakan Islam, baru saja mengambil tempat di tengah pertarungan ideologi di kalangan mahasiswa dan golongan terpelajar.
Budaya menutup aurat bukanlah berkembang tanpa tentangan. Saya masih ingat ketika menjadi penasihat agama di ITM, saya dipanggil oleh pihak pengurusan ITM kerana beberapa pelajar berpakaian menutup aurat.
Saya mempertahankan langkah pelajar itu dengan menyatakan menutup aurat itu wajib. Jika orang Sikh dibenarkan memakai serban atas alasan agama, mengapa orang Islam hendak mematuhi kehendak agama mereka, ditegah dengan pelbagai halangan?
Sewaktu saya menyambung pelajaran di Mesir pada 1976, seorang doktor wanita dari Malaysia yang sedang melawat Mesir bersama suaminya, merungut mengenai pakaian menutup aurat.
Ia menyatakan pakaian itu tidak sesuai kerana menghalang kemajuan. Saya berkata kepadanya ramai wanita Cina yang bekerja sebagai buruh di sektor pembinaan menutup seluruh badan mereka sewaktu bekerja.
Tanpa mereka rancangan pembangunan akan tergendala. Apakah kerana pakaian yang dikatakan berbungkus itu yang menghalang kemajuan atau pemikiran yang tidak terbuka yang membawa kesusahan?
Doktor wanita itu terus memohon izin suaminya untuk keluar membeli-belah.
Ada orang yang begitu percaya kulit tidak penting dan yang penting ialah isi kerana itu pakaian tidak menunjukkan seseorang lebih Islam. Soal pakaian adalah perkara remeh.
Tetapi orang yang sama begitu membesarkan wanita memakai pakaian menutup aurat. Jika soal pakaian tidak penting, biarlah wanita kita memilih apa saja pakaian yang dikehendaki mereka termasuk berpurdah sekalipun.
Tetapi apabila mereka memilih pakaian menutup aurat pemilihan itu menjadi penting dan dihentam seolah-olah pakaian itu memberi ancaman kepada sistem kehidupan di negara ini.
Kulit dan isi sama penting. Tanpa kulit yang mengawal, isi akan menjadi busuk. Kulit tanpa isi apalah gunanya. Walaupun budaya yang dianggap kulit tidak boleh digunakan, tetapi ada peranannya dalam sistem kehidupan.
Yang paling penting ialah kita harus mengetahui kulit apa. Jika kita kenal kulit durian, kita akan kenal isinya. Jika kita tidak kenal kulit durian kita mungkin menyangka isi buah lain sebagai isi durian. Mungkin isi itu memabukkan dan kita pun berkata buah durian itu memabukkan. Ini mungkin berlaku jika kita menyangka yang penting hanya isi dan bukan kulit.
Pakaian menutup aurat mungkin dianggap kulit. Tetapi pakaian itu diwajibkan oleh Islam dengan nas yang terang. Orang yang menutup aurat dengan kesedaran bahawa pakaian seumpama itu diwajibkan oleh agama, sekurang-kurangnya, akan berasa lapang ia sudah menunaikan salah satu tuntutan agamanya. Tuntutan yang mudah dan tidak membebankan.
Walaupun dengan memakai pakaian menutup aurat itu, bukanlah bermakna Islamnya sempurna dan bebas daripada kemungkinan melakukan dosa, namun ia lebih baik daripada orang yang tidak menutup aurat yang melakukan dosa sepertinya.
Pendek kata, memakai pakaian menutup aurat itu suatu kebaikan dan ia tidaklah boleh dihalang semata-mata kerana ia terdedah kepada melakukan kejahatan. Dengan memakai pakaian menutup aurat, sebenarnya, ia terhindar daripada dosa mendedahkan aurat yang dilarang Allah.
Melanggar sesuatu hukum yang diperintahkan Allah, walaupun mengenai pakaian, bukanlah perkara remeh. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar, walaupun dilihat remeh oleh manusia. Allah berfirman, mafhumnya:
"Dan kamu berkata dengan mulut kamu tanpa kamu mempunyai ilmu mengenai perkara yang kamu katakan itu. Kamu menyangka ia perkara remeh pada hal di sisi Allah ia adalah besar."
(Surah Al-Nur: ayat 15)
Menutup aurat, termasuk juga memilih kain yang tidak menampakkan kulit tubuh untuk membuat pakaian. Fesyen juga, tidak yang melekat kepada tubuh apabila memakainya sehingga menampakkan bentuk tubuh.
Tetapi bukanlah mesti jenis pakaian yang tebal sehingga tidak sesuai dengan iklim dan tidak pula longgar sehingga langsung tidak sesuai dengan keadaan. Pakaian menutup aurat bukan pula tidak mengambil kira keperluan supaya kelihatan ringkas dan kemas.
Budaya menutup aurat yang dikehendaki Islam, bukanlah budaya selekeh seperti yang diamalkan oleh sesetengah wanita dan lelaki Islam. Ia adalah pakaian yang sederhana. Pakaian yang berada antara fesyen yang menggiurkan dengan pakaian selekeh, melucukan, dan tidak sesuai dengan keadaan sehingga dibenci dan dicemuh.
Pakaian Islam tidak menolak perlunya penampilan yang cantik dan bergaya. Pernah Rasulullah saw berbicara mengenai sifat takbur. Rasulullah saw bersabda:
"Tidak masuk syurga seorang yang memiliki dalam hatinya sedikit saja daripada sifat bongkak."
Seorang sahabat berkata:
"Sebagaimana si polan yang pakaiannya cantik dan kasutnya cantik."
Sahabat itu merujuk kepada pakaian yang cantik dan penampilan yang bergaya itu sebagai simbol kebongkakan. Rasulullah saw membetulkan salah faham itu dengan berkata:
"Sesungguhnya Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sifat bongkak ialah menghalang kebenaran dan memandang rendah terhadap manusia."
Hukum wajib menutup aurat tidak lagi boleh dimansuhkan dengan hujah akal, bagaimanapun lojiknya hujah itu. Ini kerana hukum itu ditetapkan dengan nas yang jelas yang tidak lagi boleh diijtihadkan.
Nas yang terang dalam epistemologi Islam, mengatasi akal rasional, kerana nas itu adalah daripada wahyu yang nyata maksudnya, tidak memerlukan akal rasional untuk menerangkannya. Apalagi untuk membatalkan pengertiannya yang jelas itu.
Sungguhpun begitu, akal rasional, boleh meneliti hikmah di sebalik kewajipan itu untuk menambahkan keyakinan terhadap kebenaran hukum yang telah ditetapkan oleh nas. Tetapi bukan untuk meminda atau merombak hukum itu dan menggantikannya dengan yang semata-mata berdasarkan hujah rasional.
Salah satu hikmah kewajipan menutup aurat itu ialah untuk melindungi diri wanita daripada jenayah seks. Tetapi ini, bukanlah faktor sebenarnya yang hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ini hanya sebahagian daripada hikmah yang dapat ditanggapi akal rasional sebagai sebab kewajipan menutup aurat itu ditetapkan. Hujah, kononnya faktor menutup aurat itu ialah untuk mencegah kegelojohan seks di kalangan masyarakat jahiliah dan keadaan seperti itu tidak ada lagi pada zaman ini, bukan saja tidak relevan, tetapi juga tidak lojik.
Siapakah yang dapat menentukan kegelojohan seks pada zaman ini sudah tiada lagi. Pada hal pada zaman Jahiliah, zina tidak berlaku di kalangan wanita yang dianggap bertaraf mulia. Hanya wanita yang dianggap bertaraf rendah saja yang mengadakan hubungan seks di luar perkahwinan.
Walaupun pasangannya, mungkin lelaki daripada kelas atasan. Sekarang, wanita kelas atasan juga terbabit dalam melakukan zina. Dalam keadaan ini bolehkah dianggap kegelojohan seks di zaman ini lebih rendah dan lebih terkawal daripada di zaman jahiliah?
Di samping hujah yang tidak logik dan tidak relevan digunakan untuk menyerang pakaian menutup aurat, tidak ada bukti kukuh yang pakaian menutup aurat itu menghalang kemajuan. Banyak wanita terpelajar sekarang memakai pakaian menutup aurat. Mereka maju dan mereka bekerja dengan gigih. Bahkan mereka turut menjadi penggerak kemajuan.
Atas alasan apakah pakaian menutup aurat itu patut diserang. Pakaian yang bersopan ini sepatutnya dijadikan budaya bangsa kita dan harus dikongsi bersama oleh rakyat bukan Islam di negara kita sehingga, akhirnya ia diterima sebagai budaya Malaysia.
(Dipetik dari Berita Harian Online September 18, 1997)

No comments:

Post a Comment

aku


nisa